“Menjengkelkan” – itu mungkin perkataan yang terbayang di dalam kepala apabila anda mendengar perkataan politik. Rasa mual yang terkait pula semakin dirasakan dengan aksi-aksi mencapub ahli politik seperti berselipar jepun dan bercaping menjelang tarikh pilihanraya. Janji-janji baru pula ditabur, seolah-olah yang lama sudah dilupakan.Tidak hairanlah jika anda tertarik dengan saranan-saranan yang sedang panas di media sosial seperti #undirosak atau memboikot terus pilihan raya akan datang. Jika itu pilihan yang paling baik menurut anda, maka silakanlah lakukan. Asalkan ia hanya satu aksi dari penglibatan anda secara istiqamah di dalam demokrasi negara kita.
Di sebalik gerakan protes ini, kita perlu juga perhatikan apakah kehendak dan objektifnya. Rata-rata boleh dikatakan inisiatif ini bangkit daripada rasa kekecewaan terhadap keputusan Pakatan Harapan menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, dan pada masa yang sama rasa tidak puas hati terhadap tindak-tanduk kerajaan Barisan Nasional sedia ada di bawah pimpinan Dato’ Sri Najib. Secara kasarnya, dua pilihan ini yang dilihat sama-sama bermasalah. Diumpamakan seperti memilih antara Pepsi dan Coca-Cola; jika dua-dua sama sahaja, mengapa perlu ambil kisah dalam pilihan raya yang mendatang ini?
Ya, ketidakpuasan hati ini boleh difahami, tetapi harus berhati-hati agar tidak kerana marahkan nyamuk, kita bakar kelambu. Sebelum apa-apa, seseorang individu itu sendiri harus jelas apa yang dia mahukan terhasil daripada proses demokrasi, dan daripada kesedaran itu, memikirkan apakah langkah-langkah dan alat-alat yang tersedia untuk digunakan. Pada masa yang sama idealisme juga harus dicairkan dengan kesedaran bahawa pragmatisme, atau sikap berkira, tidak dapat diasingkan daripada politik kepartian. Udara yang menjadi bahan bakar parti politik itu ialah sokongan warga, khususnya di dalam bentuk undian. Tanpa sokongan undi, parti-parti politik tidak dapat mendabik dada dan mengaku bahawa mereka mewakili keresahan dan kehendak masyarakat, apatah lagi menerima mandat mereka untuk membentuk sesebuah pemerintahan.
Pada masa yang sama, ada kesan apabila orang tidak keluar mengundi. Jika orang tidak keluar mengundi kerana rasa kecewa, sama ada dari golongan yang mahukan perubahan pemerintah, ataupun yang mahukan penerusannya, ia boleh dihitung sebagai satu undi untuk pihak lawan. Maka di sinilah terletak dilemanya – jika tidak keluar mengundi ia memberikan kelebihan kepada pihak lawan, tetapi jika keluar mengundi mesej kekecewaan terhadap kepimpinan tidak disampaikan dengan jelas. Maka, keputusan untuk mengundi atau tidak, dan jika ya, kepada siapa, haruslah ditimbang-timbangkan sebaiknya.
Namun boleh dikatakan dilema ini juga hanya jadi-jadian. Ya sudah tentu, semua tindakan ada risiko-risikonya yang boleh membawa kesan buruk kepada seluruh masyarakat, menurut perspektif masing-masing. Tetapi jika orang ramai hanya membataskan penyertaan mereka kepada pilihan raya, apa yang diharapkan dari undian tersebut juga besar kemungkinan tidak akan berlaku.
Mendalami Demokrasi
TPilihan raya itu salah satu cara untuk kita mengambil bahagian di dalam proses demokrasi negara. Ia mungkin jalan yang paling dikenali ramai, tetapi ia bukanlah satu-satunya kaedah untuk menghidupkan budaya demokrasi dan politik sihat. Tanggapan yang berpolitik ini hanya perkara yang perlu berlaku lima tahun sekali melalui peti undi, itu mitos yang diwarwarkan mereka yang berkuasa supaya status quo tidak terganggu.
Maka harus ditekankan sekali lagi bahawa pilihan raya hanyalah satu jalan untuk ikut serta di dalam proses demokrasi. Dan sudah tentunya bukan hanya satu daripada dua jalan untuk memperbaiki keadaan kita. Demokrasi itu budaya dan proses yang mempunyai ratusan pintu.
Walaupun pengamalannya di dalam negara kita tidak ideal, tetapi masih terdapat ruang untuk demos, iaitu warga, untuk membawa perubahan secara demokratik selain daripada pilihanraya.
Misalnya melalui penyertaan di dalam gabungan politik, sama ada dengan menjadi ahli parti sedia ada, membentuk parti baru, ataupun menyokong lingkungan bebas yang memperjuangkan isu-isu. Penyertaan di dalam pertubuhan-pertubuhan tersebut merupakan peluang menyumbang kepada pembentukan pemikiran dan perumusan polisi dan undang-undang di parlimen. Selain itu, penubuhan kumpulan pendesak (pressure groups) dan pelobi juga merupakan usaha untuk mempengaruhi penggubalan undang-undang dan tindakan undang-undang dengan melakukan kajian bebas, diskusi dengan wakil-wakil rakyat, dan penentuan agenda (agenda setting) di dalam media. Ini semua masih lagi termasuk di dalam proses demokrasi, dan sudah tentu ia juga perlu diawasi dan diselia sepertimana pilihan raya juga.
Ini belum disebut lagi, aktiviti-aktiviti aksi langsung (direct action) yang masih banyak perlu dilakukan di Malaysia. Sama ada aksi tersebut menyumbang dana, memberi pendidikan kesedaran tentang sistem demokrasi kita, melaporkan berita tempatan, mewujudkan kumpulan sukan dan rekreasi kampung, memberikan kelas tuisyen, dan lain-lain, ini semua ruang penyertaan yang harus difikirkan dan diisi, selain daripada undi, undi rosak, atau tidak mengundi di dalam pilihan raya. Kreativiti dan teknologi boleh digunakan di sini seperti yang telah dilakukan oleh organisasi seperti Swing Left, yang menggunakan algoritma untuk membantu golongan progresif di Amerika bertanding di kawasan bermajoriti tipis; More United yang menggunakan pendanaan masyarakat (crowdfunding) untuk menyalurkan sumbangan kepada calon-calon yang telah dikenalpasti konsisten memperjuangkan nilai-nilai tertentu; dan di Malaysia, Sinar Project yang membina pangkalan data memaparkan pertalian-pertalian yang wujud, termasuk di antara perbelanjaan kerajaan, kontrak yang dikeluarkan, dan ahli politik.
Politik Mesra Rakyat
Semakin kita dekat dengan tempoh berkempen sudah tentu isu mengundi akan semakin hebat diperkatakan, dan semua pihak akan cuba meraih sokongan terhadap agenda masing-masing. Namun janganlah kita terus taksub dengan undi tanpa memikirkan sisi-sisi lain proses politik yang penting untuk menghidupkan budaya demokrasi yang sihat di kalangan warga Malaysia.
Dengan memakmurkan demokrasi dan menjadikan ia sebati dengan budaya kita, barulah cengkaman parti-parti besar terhadap naratif politik kita dapat dilonggarkan. Biarlah ribuan organisasi bergerak, dan jutaan suara berbicara, supaya kita sedar dan dapat mengenal pasti pilihan-pilihan pemimpin, fikrah, polisi, amalan, dan model yang ada untuk kita pilih.
Satu kelebihan pilihan raya ialah kita dapat lihat kesan daripada aksi kita serta-merta apabila keputusan diumumkan, suatu ciri yang jarang ada di dalam cara penyertaan yang lain. Pada masa yang sama, elemen pengawasan berterusan, peningkatan kualiti wacana, dan gotong-royong pula susah disampaikan hanya dengan pilihan raya, maka kita perlu bertindak melangkaui undi.
Lutfi Hakim merupakan penyelidik di IMAN Research. Dia suka mengikuti perbincangan-perbincangan politik tanah air dan luar negara yang terkini di media sosial.