Pada 7 ke 13 Februari yang lalu, Kuala Lumpur dengan gayanya telah menjadi tuan rumah kepada World Urban Forum (WUF) ke-9. Forum yang diadakan oleh UN-Habitat ini adalah satu perjumpaan global di antara penggubal dasar, pemimpin kerajaan tempatan, badan-badan bukan kerajaan serta para pakar daripada bidang pembangunan bandar dan penempatan manusia, untuk berbincang tentang perkara-perkara berkaitan dengan urbanisasi dan pembangunan mampan. WUF9 bertemakan “Bandaraya 2030, Bandaraya untuk Semua: Melaksanakan Agenda Perbandaran Baharu”, dan menitik beratkan Agenda Perbandaran Baharu sebagai satu alat dan langkah yang penting dalam mencapai matlamat pembangunan mampan. Hasil perbincangan di antara semua pihak berkepentingan yang hadir pada WUF9, sebuah deklarasi yang digelar Deklarasi Kuala Lumpur telah termeterai, sebagai bukti komitmen mereka ke atas perlaksanaan Agenda Perbandaran Baharu tersebut. Secara langsung, deklarasi ini akan memberi impak kepada penduduk Kuala Lumpur serta bandar-bandar lain di Malaysia, dan boleh membuka ruang-ruang pendemokrasian yang harus dimanfaatkan para aktivis dan rakyat Malaysia.
Deklarasi Kuala Lumpur dan Agenda Perbandaran Baharu
Seperti yang disebut di atas, deklarasi yang disediakan oleh peserta WUF9 yang terdiri oleh pihak kerajaan dari pelbagai negara, badan-badan bukan kerajaan, warga tua, wanita, anak muda, golongan berlainan upaya, sektor swasta, golongan akademia, organisasi-organisasi internasional dan regional, serta pihak-pihak berkepentingan yang lain, menunjukkan komitmen mereka semua untuk melokalisasikan dan mempercepat perlaksanaan Agenda Perbandaran Baharu sebagai pemangkin untuk mencapai pembangunan mampan. Komitmen ini secara terang-terangan tertera di dalam deklarasi tersebut, di mana peserta WUF9 sebulat suara “menggalakkan perumusan rangka kerja perlaksanaan Agenda Perbandaran Baharu pada setiap peringkat.”
Agenda tersebut merupakan dokumen yang terhasil daripada persidangan Habitat III yang berlangsung di Quito pada tahun 2016. Dokumen ini adalah hasil daripada perundingan 197 buah negara di dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan untuk memberi garis panduan yang menjodohkan proses perbandaran dengan pembangunan mampan. Di Malaysia, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, sewaktu melancarkan dokumen ini di Kuala Lumpur, berkata “Agenda ini menawarkan satu anjakan paradigma dalam cara kita berfikir, membina dan mewujudkan rantaian rakan pembangunan dalam menguruskan bandar- bandar pada masa akan datang secara holistik dan mampan. Dokumen Agenda Perbandaran Baharu ini berbentuk kenyataan politik yang akan mencorakkan hala tuju berkait dengan kemampanan bandar dengan menjadikannya lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan sejahtera.”
Selain itu, agenda yang mendapat sokongan penuh daripada Deklarasi Kuala Lumpur ini juga menitik beratkan perkembangan demokrasi dan pemeliharaan hak asasi manusia sebagai aspek penting dalam mencapai pembangunan mampan. Perkara yang paling menarik perhatian di dalam agenda ini adalah perkara 11 yang merujuk kepada berikut:
“Kami berkongsi wawasan bandar untuk semua, merujuk kepada penggunaan dan keceriaan bandar dan penempatan manusia yang sama, yang cuba menggalakkan keterangkuman dan memastikan semua penduduk, generasi masa kini dan masa depan, tanpa sebarang bentuk diskriminasi, dapat mendiami dan menghasilkan bandar dan penempatan manusia yang adil, selamat, sihat, boleh diakses, berpatutan, berdaya tahan, dan mampan, untuk memupuk kemakmuran dan kualiti hidup untuk semua. Kami perhatikan usaha beberapa negara dan kerajaan tempatan untuk menyemadikan wawasan ini, yang dirujuk sebagai hak kepada bandar, dalam perundangan, perisytiharan politik dan piagam mereka.”
Hak Kepada Bandar
Penting untuk kita melihat dengan lebih terperinci apa yang dimaksudkan dengan hak kepada bandar serta implikasinya ke atas penduduk. Konsep yang digubah oleh Henri Lefebvre, seorang ahli falsafah dari Perancis ini bermaksud “tuntutan terhadap transformasi dan pembaharuan akses kepada kehidupan bandar.” Konsep ini diperincikan lagi pula oleh David Harvey, professor ulung dari City University of New York, yang mengulas “Hak kepada bandar adalah lebih daripada sekadar kebebasan individu untuk mendapat akses kepada sumber-sumber di bandar: ianya adalah hak untuk mengubah diri dengan mengubah bandar. Ianya bukan sekadar hak individu tetapi merupakan hak rakyat bersama kerana transformasi ini tertakluk kepada kuasa kolektif untuk membentuk semula proses urbanisasi.”
Menurut Harvey, kebebasan penduduk bandar untuk melakukan perubahan positif ke atas bandar yang didiami mereka merupakan hak asasi yang sangat penting. Penduduk bandar berhak mendapat kuasa untuk membentuk proses perbandaran, melalui proses-proses demokrasi yang bergariskan keserataan dan hak asasi manusia. Hak-hak ini juga yang telah diiktiraf oleh 197 buah negara melalui Agenda Perbandaran Baharu, termasuklah Malaysia.
Harvey, Agenda Perbandaran Baharu, dan Deklarasi Kuala Lumpur mengiktiraf betapa pentingnya peranan kerajaan demokratik dalam mewujudkan bandar yang berfungsi penuh dan mampan, dan melalui konsep hak kepada bandar, semuanya juga mengiktiraf hak penglibatan penduduk bandar dalam memastikan proses ini berlangsung dengan adil dan saksama. Persoalannya, bagaimana caranya untuk penduduk bandar menggunakan hak ini?
Terdapat banyak cara untuk melibatkan warga kota dalam proses pembangunan bandar, samada daripada sudut penggubalan dasar nasional, atau juga daripada intervensi-intervensi peringkat komuniti. Antara pendekatan yang sedang sohor kini di banyak kota adalah melalui participatory planning atau perancangan bersama. Ada juga yang melalui aktivisme seperti pergerakan penduduk di Greenwich Village, NY yang membantah pembangunan lebuhraya yang direncana memotong masuk kawasan perumahan mereka. Seperti di Kuala Lumpur pula, usaha-usaha daripada Think City untuk memberi nafas baru kepada bandar KL dengan mendanai program-program yang diajukan oleh warga KL merupakan satu langkah positif dalam memberikan hak penduduk kepada bandar.
Walau bagaimanapun, satu aspek yang sangat penting dalam hak kepada bandar, yang tidak dimiliki oleh warga Kuala Lumpur, adalah hak untuk memilih pemimpin yang mengurus dan mentadbir bandar ini. Jika kita lihat semula, antara perkara yang dimaksudkan oleh hak kepada bandar adalah hak kepada penduduk untuk mengubah bandar, serta hak untuk membentuk proses perbandaran. Sudah tentu, ciri utama dalam merealisasikan hak ini adalah dengan memberi hak kepada penduduk bandar untuk memilih siapa yang akan menjadi pemimpin mereka. Dan sudah tentu juga, satu-satunya cara untuk memberi hak memilih ini kepada penduduk bandar, adalah dengan menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan.
Pilihan Raya Kerajaan Tempatan
Pilihan raya kerajaan tempatan bukanlah suatu bendasing dalam sejarah Malaysia. Sebelum merdeka, Tanah Melayu pada ketika itu telah menjalankan pilihan raya ini di Pulau Pinang pada tahun 1951 dan Kuala Lumpur pada tahun 1952. Kedua-dua pilihan raya ini dijalankan untuk memilih ahli-ahli Majlis Perbandaran di kedua-dua bandar tersebut. Pilihan raya ini kemudian diteruskan di negeri-negeri lain sehingga tahun 1964, di mana ianya tidak lagi dijalankan atas sebab-sebab tertentu.
Menyentuh sedikit tentang pemberhentian pilihan raya kerajaan tempatan, antara alasan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan adalah dengan membuat perlantikan ahli majlis secara langsung, pengurusan negara dapat dilakukan dengan lebih lancar kerana tidak akan wujud ketidak sefahaman antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan tempatan. Dalam erti kata lain, pihak kerajaan persekutuan lebih mementingkan ahli majlis yang akan menjalankan agenda kerajaan persekutuan berbanding ahli majlis yang memperjuang kehendak penduduk tempatan. Dari sudut pandangan pemimpin politik barisan pembangkang pula, pilihan raya kerajaan tempatan juga boleh menggugat kedudukan dan mengganggu agenda mereka di peringkat negeri, khususnya di negeri-negeri di bawah pimpinan mereka di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Oleh kerana itu, walaupun ada sedikit usaha dan gesaan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan oleh pemimpin politik pembangkang, ianya masih dielak daripada dilaksanakan oleh pemimpin politik di segenap pihak.
Akan tetapi, dengan pengiktirafan kerajaan Malaysia ke atas Agenda Perbandaran Baharu ini, serta pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur yang juga disokong oleh pihak-pihak antarabangsa, usaha ini harus diberi nafas baru dan disokong penuh oleh pemimpin-pemimpin politik di seluruh negara. Pentingnya untuk diadakan semula pilihan raya ini adalah kerana ianya merupakan satu kegiatan yang secara langsung dapat melibatkan penduduk bandar dalam pembentukan dan pembangunan bandar yang didiami mereka. Seperti pilihan raya umum, kegiatan ini juga dapat memastikan pemantauan ke atas siapa dan bagaimana bandar itu ditadbir, sambil menjamin ketelusan dan kesaksamaan. Ianya sejajar dengan aspirasi Agenda Perbandaran Baharu, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sendiri, “akan mencorakkan hala tuju berkait dengan kemampanan bandar dengan menjadikannya lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan sejahtera.”
Dengan mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan, bukan sahaja ruang-ruang pendemokrasian akan terbuka. Selain daripada mewujudkan suatu persekitaran yang sihat dan mampan untuk penduduk bandar dalam menjalankan kehidupan seharian sebagai warga kota, ianya juga akan menjadi satu simbol komitmen kerajaan Malaysia ke atas Agenda Perbandaran Baharu dan Matlamat Pembangunan Mampan, lebih daripada hanya menjadi tuan rumah untuk WUF9, yang boleh menjadi contoh untuk negara-negara lain, dan memperagakan Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif dan inklusif.
Badrul Hisham Ismail adalah Pengarah Program dan penyelidik di IMAN Research.
Ini adalah pendapat pengarang dan tidak semestinya mewakili pandangan IMAN Research.