Mencari Intipati Agama di Era Pandemik

Dari sudut teologi, ada satu pengajaran penting yang dapat kita pelajari dari situasi wabak Covid-19 ini. Ketika ritual-ritual agama yang kita anggap begitu penting boleh ditinggalkan atau diubah demi maslahat umum, kita berhadapan dengan persoalan mendasar: apakah intipati dari agama itu sendiri?

 

Kita melihat banyak kegusaran dari kalangan umat kerana tidak dapat lagi melakukan ritual-ritual penting. Yang paling ketara ialah peninggalan solat Jumaat demi mengelakkan penumpukan jemaah yang boleh menyebabkan penularan virus. Kegusaran ini dapat kita fahami kerana praktik Islam di kalangan masyarakat rata-rata bersifat ritualistik. Jarang kita dengar penjelasan agama yang mengaitkan ritual dengan landasan falsafahnya. Sebaliknya, pendekatan terhadap Islam lebih tertumpu kepada aspek-aspek amalan dari sudut fikih, hukum dan halal-haramnya.

 

Tetapi, Islam sebagai agama tidak tertakluk kepada aspek amal dan hukum semata-mata. Ianya sebuah agama yang mempunyai landasan falsafah dan teologi yang harus digali. Sayangnya, walaupun kita mempunyai ramai ahli falsafah dan teologi di zaman lampau, para ulama yang dominan pada masakini ialah mereka yang hanya gemar membangkitkan isu-isu berkaitan fikih. Oleh itu, golongan massa tidak dibekalkan dengan cara pandang yang kukuh terhadap Islam. Inilah yang menyebabkan kegusaran muncul ketika praktik agama harus disesuaikan dengan konteks dan situasi. Konservatisme yang mempertahankan amalan yang terbiasa dan menolak apa jua perubahan atau penyesuaian, adalah natijah dari orientasi agama yang terlalu bersifat legalistik, ritualistik dan formalistik.

 

Jadi, menarik untuk kita berhenti sejenak dan merenung pengajaran dari pandemik yang menyebabkan masjid-masjid serata dunia terpaksa ditutup, umrah dibatalkan dan ibadah solat disesuaikan dengan panduan kesihatan untuk maslahat umum. Secara rambang, kita perhatikan bagaimana ritual-ritual ini tidak lagi ditekankan sebagai fundamental terhadap keberadaan kita sebagai umat Islam. Kalau dahulu kita disuruh melaksanakan solat Jumaat dengan tegas (termasuk ancaman murtad jika meninggalkannya dengan sengaja selama tiga kali berturut-turut), kini kita disuruh diam di rumah dan menjadi Muslim yang taat dengan melakukan solat Zuhur di rumah sahaja. Jadi, bagaimana kita memahami apa itu intipati agama dari keterbalikan anjuran dan praktik beragama di era pandemik seperti apa yang kita hadapi ini?

 

Membezakan Esensial dan Aksidental

 

Untuk memberi sedikit pencerahan akan persoalan ini, saya ingin merujuk kepada pemikir Islam, Abdolkarim Soroush yang membezakan apa yang beliau sebut sebagai ‘esensial’ (essential) dan ‘aksidental’ (accidental) di dalam agama. Menurut beliau, perbezaan antara dua aspek ini penting supaya kita tidak keliru antara intipati agama dengan aspek luarannya yang, walaupun penting, tetap tidak mentakrifkan agama itu sendiri.  

 

Menurut Soroush, ada tiga cara untuk kita memahami apa itu esensial dan apa itu aksidental. Pertama, perkara yang esensial merujuk kepada agama itu sendiri (religion in-itself) dan bukannya ilmu keagamaan (religious knowledge) mahupun keberadaan umat di dalam beragama (believers’ state of being). Kedua, yang esensial tidak terkait dengan hubungan agama terhadap kita (religion in relation to us). Ketiga, perkara aksidental boleh berubah-ubah, walaupun terdapat perkara yang esensial di dalam setiap perubahan yang terjadi. Makanya, perkara yang esensial di dalam Islam, menurut Soroush, boleh difahami sebagai apa jua yang bukan aksidental dan sekiranya ianya tiada, itu bukan lagi Islam dan sekiranya transformasi terjadi kepadanya, ianya akan berubah menjadi agama lain. (The Expansion of Prophetic Experience, 2009:67)

 

Penting dinyatakan di sini bahawa pendekatan Soroush lebih mendasar dari apa yang kita fahami di dalam wacana fikih. Elok jika kita ambil contoh solat sekali lagi. Mendirikan solat itu merupakan Rukun Islam (arkaanul Islam) yang kedua. Ini tidak dipertikaikan oleh mana-mana ulama. Dalam erti kata lain, ianya sesuatu yang tidak akan berubah (tsawabit). Namun, praktiknya boleh berubah (mutaghayyir), apatah lagi hukum terhadapnya mengikut sebab-musabab tertentu (‘illat).

 

Secara umum, melakukan solat itu wajib. Sekali lagi, wajib atau tidak sesuatu amalan merupakan wacana fikih, bukan akidah. Para ulama setuju bahawa fikih merupakan cabang (furu’) dari agama dan bukannya bersifat fundamental (usul). Oleh itu, kita perhatikan bahawa sesuatu yang menjadi sebahagian dari Rukun Islam dipraktikkan secara berbeza-beza. Cuba perhatikan pergerakan di dalam solat mengikut mazhab fikih yang berbeza-beza! Para ulama juga membenarkan solat digabungkan (jama’) atau dipendekkan raka’atnya (qasar) ketika bermusafir atau adanya situasi yang mendesak. Begitu juga hal-hal lain seperti hukum pemakanan. Yang haram boleh menjadi halal sekiranya terjadi situasi terdesak (darurah) seperti tiadanya makanan lain untuk dimakan kecuali babi. Menurut hukum fikih, setiap hukum ada tingkat keutamaannya (al-awlawiyyat) dan memelihara nyawa (hifz al-nafs) dan menolak kerosakan (mafsadat) lebih utama dari yang lain, termasuk melakukan ritual yang wajib seperti solat Jumaat. Jadi, hukum tidak bersifat jumud dan perubahan hukum tidak merendahkan eksistensi Islam sebagai agama.   

 

Oleh itu, dari sudut pandang fikih, sekiranya, (1) status mendirikan solat yang wajib boleh berubah; (2) tiada persetujuan universal akan pergerakan khusus di dalam solat; (3) tidak gugur status sebagai Muslim walaupun solatnya dilakukan tanpa bersungguh-sungguh; dan (4) ketiga-tiga perkara di atas ini tidak sedikit pun menggugat integriti Islam sebagai sebuah agama; maka yakinlah kita bahawa ritual solat itu sendiri tidak termasuk ke dalam apa yang disebut oleh Soroush sebagai esensial, walaupun tidak dinafikan ianya menjadi sebahagian dari Rukun Islam dan secara umum, tidak dinafikan kewajibannya.

 

Intipati dari Solat

 

Sekiranya benar bahawa ritual solat bukanlah esensial dari agama itu sendiri, bagaimana pula kita menjelaskan bahawa ianya menjadi sebahagian dari Rukun Islam dan termasuk dalam apa yang kita sebut sebagai akidah? Penting disebutkan di sini bahawa akidah merujuk kepada keimanan dan kepercayaan, bukan amalan. Itulah sebab mengapa seorang Muslim yang meninggalkan solat tetap tidak gugur statusnya sebagai seorang Muslim dan tidak boleh dianggap sebagai murtad; kecuali jika dia menafikan solat itu sendiri sebagai Rukun Islam. Di sinilah timbul persoalan yang menggangu kita: jika mendirikan solat itu menjadi sebahagian dari akidah tetapi perlaksanaan ritual solat boleh berubah, bukankah ini satu dilema yang bersifat kontradiksi?

 

Cara meleraikan dilema ini ialah dengan melihat di sebalik formaliti amalan solat itu sendiri dan merenung ke dalam maksud dari keimanan terhadap mendirikan solat. Jelaslah, mendirikan solat membawa makna yang menjangkaui aspek ritualnya, tanpa menafikan kepentingan aspek ritualnya untuk manusia. Solat, secara intipati, merujuk kepada hubungan antara manusia dengan Pencipta-Nya. Dalam erti kata lain, intipati dari firman mendirikan solat itu (Q.20:14) ialah mengakui adanya Sang Pencipta, ketergantungan ciptaan kepada Pencipta, dan berserah dengan rendah hati kepada kekuasaan Tuhan yang Maha Esa. Inilah yang menjadi etimologi perkataan “muslim”, iaitu seorang yang tunduk berserah (kepada Pencipta-Nya). Tidak hairanlah, mendirikan solat menjadi sebahagian dari Rukun Islam.

 

Jelaslah bahawa yang esensial bukanlah ritual itu sendiri tetapi intipati darinya. Makanya, ritual solat (dalam erti amalannya secara khusus) adalah aspek aksidental atas sebab yang disebutkan di atas. Manakala intipati dari solat itu sendiri merupakan aspek esensial kerana tanpa hubungan antara manusia dengan Pencipta-Nya, Islam tidak lagi menjadi agama yang membawa makna apa-apa.

 

Membawa pendekatan Soroush ke dalam persoalan perubahan hukum akan memastikan kita tetap teguh berislam tanpa keliru sekiranya terjadi lagi keterbalikan hukum seperti yang kita saksikan di era pandemik Covid-19 ini. Ringkasnya, kita tidak perlu menjadi gusar kerana menjadi “kurang Muslim” jika, contohnya, tidak dapat melakukan sesuatu amal atas sebab-sebab tertentu. Ini menunjukkan sifat dinamik yang ada di dalam Islam sekiranya kita menggali intipatinya dan tidak terlalu obsesif terhadap aspek luarannya. Bukankah ini juga menjelaskan mengapa rahmat Tuhan itu sendiri meliputi seluruh alam (Q. 7:156), dan Dia mengkehendaki kemudahan dan bukannya kesulitan (Q. 2:185)? Atau kita sebagai manusia ciptaan yang lebih terbiasa dengan projeksi kita terhadap Tuhan dengan mementingkan perkara yang remeh-temeh dan tidak kekal di dunia temporal?

 

Membezakan yang esensial dari yang aksidental memungkinkan kita beragama dengan berhemah dan berhikmah dengan mengangkat semangat dari bentuk (spirit over form). Seperti contoh segelas air, yang menghilangkan dahaga kita ialah airnya, bukan gelasnya; walaupun tanpa gelas, air itu tidak tertampung. Namun, gelas itu bersifat aksidental sementara air itulah yang esensial. Begitulah hubungan antara keduanya yang terkait tetapi berbeza nilainya dalam mentakrifkan makna agama itu sendiri. Dengan membezakan yang esensial dari aksidental, kita dapat menguatkan asas keislaman dan keruhanian kita. Dan Tuhan pula tidak dipasungkan oleh kerigidan dan batas kita sebagai manusia!

 

Mohamed Imran Mohamed Taib antara pendiri The Reading Group, Singapura dan pernah menjadi editor jurnal sosioagama, Tafkir.

 

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IMAN Research.


RELATED POSTS