Budaya Ilmu & Masyarakat Canggung

Ramai ahli ilmu kita yang ketika ini sedang memendam kegusaran dan kebimbangan atas kemendapan wacana ilmu di Malaysia. Seakan-akan sudah tiada ketertarikan masyarakat atas ilmu dan peranan-peranannya. Wacana ilmu tidak lagi menjadi projek utama membangun bangsa. Sudah tiada keprihatinan dan concern kalangan warga atas kepincangan ini.

Adakah kelompongan wacana ilmu di Malaysia mampu ditampung? Sekiranya perlu, wajarlah pula kita mempersoalkan; sejauh mana budaya ilmu mendapat tempat dalam ruang sosial?

Apakah ilmu itu? Sekiranya kita ditawarkan hal teoritikal dan segala perkakas-perkakas ilmu yang bersangkut dengan terminologi itu dan ini, maka kita mempertanykan lagi; adakah semua itu ada modul praksisnya- atau- amalinya? Ini kerana, dalam wacana ilmu, tidak boleh dibangun semacam kasta antara teori dan praksis- walaupun- tanpa menolak proses ilmu itu dan tertib-tertibnya.

Penolakan wacana ilmu dan menggantikannya dengan wacana kusut masai yang ditawarkan oleh ranah politik Malaysia juga punca masyarakat kita merasakan wacana kusut masai itu sebagai wacana pengganti yang unggul dan mengilhamkan kesedaran (awareness). Sekitar abad ke-20- dalam dunia Islam- lahir seorang pemikir masyhur; Bediuzzaman Said Nursi (1877-1960), yang turut bimbang dan gusar dengan kepupusan intelektualisme kaum muslimin. Bahkan, ketika berhadapan dengan masyarakat yang termakan dengan tawaran faham sekular yang ketat ketika itu di Turki, beliau lebih memilih metod islah (pembaharuan); membangkitkan semula iman (revitalization of faith and belief) berbanding terkinja-kinja untuk membentuk sebuah negara Islam dan berpaut semata-mata pada wahana yang bersifat politikal. Dan, nampaknya state (kuasa) bukan hujung kepada proses pembaikan masyarakat.

Membudaya & Memberdaya Ilmu

Bagaimana iklim budaya ilmu- kalangan masyarakat- di Malaysia hari ini? Budaya ilmu itu terlebih dahulu; satu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung mahupun tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan di setiap kesempatan; dan keadaan di mana segala tindakan manusia baik di tahap individu apatah lagi di peringkat masyarakat, di putus dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan. Dalam budaya ini, ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat di setiap peringkat.. Budaya ilmu itu seakan sebentuk ritual sosial yang dikongsi oleh setiap tatanan masyarakat. Ada ruhnya sendiri. Pengamatan masyarakat ke atasnya mirip sebuah ibadah agung yang disambung dari zaman ke zaman.

Nampaknya, kita kena membuat refleksi atas budaya ilmu yang kering membatu di Malaysia. Akses kepada pengetahuan sendiri sudah menjadi rumit ketika para pemikir, ahli akademik, perkumpulan wacana dan buku-buku diharamkan. Literatur-literatur yang dianggap menggugat dan subversif oleh panel-panel autoritarian ini telah membunuh semangat intelektual dan membantutkan lagi Malaysia dari menuju kepada sebuah negara yang budaya ilmunya mapan dan tradisi keilmuan yang mengakar menjadi modul kepada bangsa dan tradisi di luar sana.

Semua ini tertangguh- salah satunya juga- kerana sikap masyarakat yang canggung dan anti ilmu. Kecanggungan inilah yang memalapkan budaya ilmu bahkan- jika tidak keterlaluan- masyarakat kita kemungkinan masih kabur tentang ilmu- makna dan peranannya- kerana itu mereka tidak meletakkan keyakinan kepada ilmu untuk mengungguli tempat pertama untuk mengoperasikan sistem sosial.

Nampaknya, kita kena membubuh semula takrif ilmu yang pernah di sebut oleh Syed Naquib Al Attas dalam Islam and Secularism; iaitu ketibaan sesuatu makna, hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri sesorang. Tidak cukup dengan sogokan maklumat, melainkan maklumat itu teruji kebenarannya. Ini kerana maklumat yang bermakna adalah yang berguna, mampu bertindak dan berjaya dalam eksperimennya ketika dihubungjalinkan bersama idea atau maklumat lain.

Masyarakat kita berlebih-lebih menelan hadam maklumat yang berlegar dalam wacana kusut masai yang muncul menenggelamkan wacana ilmu yang komprehensif. Sehingga mematikan fungsi akal mereka untuk bekerja menukang segala ralat yang berantakan dalam sistem sosial. Mereka tidak mampu lagi menerbitkan ijtihad sosial untuk kehidupan masyarakat yang sejahtera (human well-being). Mereka menyangka, wacana kusut masai tadi telah hadir untuk menampal kebocoran dalam wacana ilmu di Malaysia.

Pemberdayaan (empowerment) ilmu kalangan masyarakat adalah solusi yang terpakai ketika ini. Esensi pemberdayaan ilmu kalangan masyarakat adalah proses, dari, oleh dan untuk masyarakat. Sehingga sebuah masyarakat itu lebih mandiri dan hidup dengan fatwa yang mereka sendiri putuskan bagi merespon masalah lingkungan yang mereka sendiri alami. Fatwa sosial yang dicoret menggunakan tinta hitam dan ditulis di atas meja elit, sofa empuk dan dipersidangkan di dewan nyaman kadang-kadang tidak mampu berdialog dengan masalah sosial yang kondisinya tidak seindah fatwa itu diputuskan.

Maka budaya ilmu dan pemberdayaan ilmu kalangan masyarakat adalah sesuatu yang tertangguh dan seharusnya ditiup semula semangatnya. Ini kerana ilmu yang dibangun dalam kalangan masyarakat lebih canggih daripada segala infrastruktur negara dalam pembikinan sebuah negara maju. Kalau mesin mampu mencipta robot serba canggih, maka ilmu dan budaya ilmu itu mampu melahirkan seorang pemikir, intelektual yang idea dan pemikirannya immortal sekalipun mereka sudah mati dan naratif hanya tinggal tercatat dalam buku sejarah.

Intelektual Publik

Masyarakat itu tidak terlepas daripada tugas-tugasnya. Maka, daripada budaya ilmu dan perletakan ilmu sebagai tahapan yang paling wahid tadi, maka kita akan mencipta manusia dengan zatnya yang sempurna sebagai intelektual publik yang akan bertungkus lumus menukang segala kerosakan dalam masyarakatnya.

Intelektual publik bukan sekadar menampal kain yang koyak, tapi menjahitnya atau sekiranya perlu menggantikannya dengan kain yang baru. Mereka ini tidak terperangkap dalam kamar-kamar intelektual yang tidak bicara tentang wacana ilmu hegemonik- yang mendominan- yang menguasai masyarakatnya. Atau- seperti yang diistilahkan oleh Syed Farid Alatas sebagai kebergantungan akademik (dependency academic)- iaitu para intelektual, pemikir dan ahli akademik kita duduk mencangkung menganga segala yang ditentukan oleh tauke mereka di kampus atau makmal-makmal elit tempat mereka berkabung akibat kematian praksis/amali walaupun mereka telah mengawet ribu riban teori ilmu dan mengujinya tiap-tiap masa menggunakan segala apparatus yang canggih.

Ketika kita berhadapan dengan budaya ilmu yang mendung dan intelektual atau pemikir yang tidak jujur dan menjaga lidahnya daripada dipotong dikelar oleh tauke-tauke mereka, maka kita akan didatangkan intelektual/pemikir/cendekiawan korup yang ramai bilangannya. Menang sorak dan sisi kuantitatifnya tapi gagal sisi kualitatifnya. Ijtihad sosial mereka berbayar dan tiada keberpihakan dan kesejagatan. Lidah mereka mengelirukan dan fatwa mereka membingungkan. Mereka berteori tanpa amali. Persis seperti yang ditamsilkan oleh Tuhan; “…seperti keldai yang memikul membawa lembaran-lembaran kitab yang tebal”. Intelektual yang korup tiada beza dengan menteri yang korup. Mereka tidak menyedari bahawa posisi mereka itu adalah restu masyarakat kebanyakan. Mereka bukan siapa-siapa tanpa masyarakat. Bagi seorang intektual; kalungan intelektual itu sendiri datang dari masyarakat, bukan anugerah dari langit mahupun dari klaim dan perakuan sendiri. Seseorang itu dianggap intelektual bukan hasil dari pengakuannya sendiri, melainkan keterlibatan bermakna untuk masyarakat dan negaranya , lantas diiktiraf bakti dan khidmatnya.

Khatimah

Walaupun wacana ilmu itu terlalu general dan memiliki spektrum-spektrumnya atau aliran-alirannya, sekaligus untuk menyahut panggilan untuk membentuk masyarakat yang kecil bilangannya tapi dahsyat tradisi keilmuannya, maka kita perlu menuturkan semula tawaran-tawaran ilmu sebagai jentolak yang mampu mendobrak kecanggungan dan kejahilan masyarakat dalam meneruskan peranannya.

Budaya ilmu yang mapan, literatur daripada aliran yang jama’, pemikir daripada faham kanan ke kiri, dan buku-buku yang mewacanakan faham yang ragam perlu dibiarkan mengalir dan melaksanakan kerjanya. Masyarakat perlu dicelikkan dengan ilmu, bukannya manifesto-manifesto wakil rakyat yang berbahas tentang masalah sosial dan memperjuangkan tempat berteduh kita. Rumah yang ditawarkan oleh wakil rakyat kita bukan segala-galanya kerana sekiranya di ruang sosial masih wujud masyarakat yang tidak toleransi maka mereka akan mengopak dinding dan mengintai-intai kita melalui jendela rumah- yang merupakan- ruang peribadi (private sphere) kita.

Rien Sd atau nama sebenar Asrin Bin Utong adalah penulis sambilan kelahiran negeri di bawah bayu. Peminat muzik keras ini juga terlibat secara langsung bersama komuniti buku sekaligus melakukan kerja sosial serta kesukarelawanan bersangkut hak asasi dalam kalangan anak-anak tanpa negara (stateless) di Sandakan, Sabah.

Tajuk buku “Muda & Derhaka” terbitan Strategic Information & Research Development (SIRD). Naskhah ini sedang berada di peringkat akhir suntingan dan berada dalam proses cetakan. Pembaca boleh mendapatkan naskhah ini di Gerak Budaya Bookstore setelah proses cetakan selesai. Naskhah ini adalah kumpulan artikel dan esei Rien Sd yang pernah tersiar dan tidak pernah tersiar. Disunting dan dikembangkan wawasannya dengan mengambil kira wacana semasa. Kritik sosial yang termuat dalam tulisannya adalah kegundahan yang jujur dan bukan semata-mata untuk membangun suasana provokatif melainkan untuk menjadi antitesis kepada setiap tesis yang hadir daripada struktural, sistem masyarakat, sfera sosial, masyarakat beragama dan wacana ilmu dan kebudayaan.



RELATED POSTS