Jihad Terlarang: Gerakan Militan dan Peranan Pesantren Merawat Radikalisme – Bahagian 2

Sambungan:

Kamu menyebut-nyebut mengenai peranan pesantren dalam proses rehabilitasi kamu. Apakah ini semacam dukungan yang kamu terima setelah keluar dari gerakan radikal ini?

MT: Ya, saya mendapat dukungan kuat dari Pesantren Darul Uloom di Bogor. Semenjak saya mula memprotes terhadap gerakan radikal, saya sering datang ke pesantren ini untuk mendapatkan nasihat. Pesantren merupakan pusat pembelajaran Islam. Waktu itu. saya tidak mempunyai pemahaman Islam yang kukuh kerana latar saya adalah manusia jalanan. Makanya, setiap kali ada masalah, saya akan meminta nasihat dari kiyai (KH. Nasrudin Latif). Semenjak saya mula mendapatkan nasihat di pesantren, mereka (di pesantren) sering mendukung saya. Mereka mengatakan bahawa protes yang saya lakukan terhadap gerakan radikal, tidak salah. Kiyai mengatakan bahawa protes saya betul, dan asalkan saya terus berani, kuat dan sabar.

Sewaktu buku Jihad Terlarang terbit dan saya mendapat ancaman, pesantren itulah yang melindungi saya. Beberapa tokoh pergerakan masih memandang hormat terhadap kiyai dan pesantren, jadi mereka tidak berani mengusik saya. Pak Kiyai mengatakan bahawa sesiapa yang mengganggu saya, bererti dia telah mengganggu pesantren; dan sesiapa yang melukai Mataharitimoer bererti dia juga telah melukai kiyai. Semenjak itulah, ancaman terhadap saya dari kalangan underground dan radikal berkurangan.

Ancaman seperti apa yang kamu terima?

MT: Ancaman paling biasa saya dengar ialah, ‘Darahnya halal, dan boleh kita bunuh!’ Tetapi, seiring dengan perjalanan waktu, saya mulai melihat ancaman itu sebagai kosong belaka. Mereka tidak benar-benar berani untuk melakukan ancaman mereka; hanya gertak sahaja.

Pasti mereka lebih marah setelah ‘Jihad Terlarang’ terbit kerana membongkar semua rahsia mereka serta cara mereka beroperasi. Apakah contoh operasi mereka yang kamu bongkar, yang menurut kamu, membuat mereka benar-benar marah?

MT: Di buku ini, saya menjelaskan bagaimana mereka melakukan pendekatan terhadap sasaran dan bagaimana mereka melakukan brain-washing – daripada seorang yang tidak tahu apa-apa kepada seorang yang siap mati. Prosesnya itu melalui pendidikan dan latihan – semacam ‘pesantren kilat’ (latihan perkhemahan) selama tiga hari, dua malam. Para peserta tidak dibenarkan tidur, dan hanya boleh istirehat sekejap untuk makan dan solat. Saya jelaskan juga bahan-bahan yang digunakan untuk proses indoktrinasi ini. Nah, ini semua adalah rahsia gerakan dan tidak seharusnya diketahui umum. Tetapi, saya menulis mengenainya kerana saya ingin orang lain tahu bahawa itulah caranya mengubah seseorang – dari seorang yang tidak berani kepada seorang yang berani mati.

Biasanya, bagi mereka yang bergiat di dalam kelompok radikal seperti itu dan lantas keluar, mereka bukan hanya menjadi sasaran mantan teman-teman radikalnya, tetapi juga dicari oleh pihak perisik negara. Apakah kamu punya pengalaman didekati pihak perisik negara dan bagaimana reaksi kamu?

MT: Ketika buku Jihad Terlarang ini terbit, saya tidak hanya dicari oleh kelompok radikal, tetapi juga oleh pihak perisik negara atau state intelligence. Tetapi motifnya mungkin berbeza. Bagi pihak perisik, kadang-kadang saya didekati secara tidak sedar – seperti sewaktu saya diundang menjadi pembicara atau menjadi narasumber (resource person) di dalam diskusi-diskusi terbatas.

Saya pernah diundang oleh Pusat Penelitian dan Pengembangan Agama, untuk mendiskusikan buku ini secara tertutup. Pada saat itu, ada beberapa orang berlatarbelakang agensi keamanan negara. Saya terperanjat; kenapa mereka turut hadir? Tetapi, saya tetap lanjutkan diskusi. Cuma, saya tetap batasi bahawa saya tidak akan mendedahkan dan saya tidak akan memberitahu di mana orang-orang yang saya ceritakan ini berada. Ini kerana sasaran mereka satu: mereka ingin tahu di mana tinggalnya orang-orang yang saya ceritakan, dan apakah mereka masih bergerak di dalam kelompok tersebut. Itu yang tidak dapat saya berikan. Ini kerana, buat saya, orang yang saya ceritakan harus saya lindungi juga.

… kenapa?

MT: Itu fasa di mana saya merasa tidak ada dendam lagi dan saya sudah mulai cair – justeru saya merasa berterima-kasih kepada mereka. Dengan merekalah, akhirnya, kedewasaan saya dibentuk dan dibina; walaupun saya harus melewati fasa merasa diri dibodohi, fasa amarah, fasa sakit emosi… Pada akhirnya, seburuk apapun seseorang itu, dia adalah “guru” saya. Sekejam apapun orang yang pernah saya temui, saya belajar kekejaman dari dia.

Jadi, kamu mempunyai semacam prinsip bahawa cara menangani radikalisme ini bukan dengan cara yang radikal juga, tetapi dengan cara yang lembut seperti memujuk mereka untuk kembali ke jalan yang damai dan moderat. Apakah kamu pernah cuba melakukan cara khusus seperti ini, sebagai kaedah deradikalisasi?

MT: Ya. Untuk cara deradikalisasi, kita harus mempunyai prinsip seperti itu. Selama ini, negara sering menggunakan pendekatan yang sangat keras, seperti Densus 88 (Detasemen Khusus 88, sebuah unit anti-terorisme di bawah Polis Indonesia) – menangkap, dipukul dan tanpa dialog. Pendekatan-pendekatan yang sifatnya dialogik atau pembujukan, hanya dilakukan terhadap mantan-mantan aktivis radikal. Kalau dulu, kami di gerakan radikal memanggil mantan-mantan aktivis sebagai “anjing pelacak”, yang tugasnya melacak di mana lokasi musuh negara. Ke manapun kita pergi, kita akan tetap dilacak kerana pihak perisik curiga bahawa kita akan bertemu kembali dengan orang-orang yang radikal. Itulah yang membuat saya berfikir: saya tidak mahu menjadi “anjing pelacak”! Saya sendiri tidak suka dengan para mantan yang menjadi “anjing pelacak”. Lebih baik saya menjadi orang biasa yang menebus kesalahan diri dengan mengajak orang-orang yang dulu saya ajak menjadi radikal, untuk kembali berdamai dengan masyarakat dan negara, dan diawali dengan berdamai dengan diri sendiri.

Saya melihat satu sisi penting. Terjadinya radikalisasi juga adalah sewaktu zaman Suharto yang sangat represif di dalam menindas kelompok Islamis. Jadi, kerana pemerintahan Orde Baru sangat represif, mereka menjadi lebih radikal. Kamu melihat kesilapan seperti itu dan ingin mencuba strategi yang baru – iaitu dengan cara yang halus. Apakah ada keberhasilan di dalam percubaan kamu membujuk mungkin satu atau dua teman yang radikal?

MT: Hanya sedikit yang tidak berhasil saya pujuk. Tetapi, keberhasilan yang saya dapatkan memerlukan masa yang agak lama. Dulu, ketika saya masih aktif di dalam kelompok radikal, saya hanya memerlukan tiga hari untuk mengubah pemikiran mereka melalui brainwashing. Tetapi, sesudah saya keluar, dan berusaha membawa yang lain keluar, proses ‘normalisasi’ memakan masa yang terlalu lama. Mungkin tiga tahun pun belum tentu cukup.

Mungkin banyak faktornya mengapa memerlukan waktu yang lama. Pertama, kita harus sedar mereka sebenarnya punya keperluan hidup. Mereka punya keluarga yang harus dinafkahi. Juga, semakin tua, minda mereka semakin keras. Ibarat tulang, yang mungkin patah, maka harus diluruskan dengan perlahan-lahan.

Tetapi, menurutmu, hanya memerlukan tiga hari untuk merekrut orang ke dalam gerakan radikal. Apakah teknik yang memudahkan seseorang itu terekrut secara tidak sedar?

MT: Yang paling mudah adalah melalui provokasi. Kita mengatakan bahawa negara yang dipimpin Suharto adalah negara kafir, dengan bukti banyaknya korupsi dan semakin banyak orang yang miskin. Jurang antara orang yang kaya dan orang yang miskin semakin luas. Dan banyak ulama serta ustaz-ustaz yang ditangkap. Nah, dengan cara itu saja, tanpa mengangkat idea-idea Islam, orang sudah tertarik untuk masuk – terutama mahasiswa-mahasiswa yang pernah berhubungan dengan gerakan Kiri. Mereka mudah ditarik. Kepada golongan ini, kita tidak akan berbicara mengenai konsep-konsep Islam; yang kita bicarakan ialah konsep ‘perlawanan’ – terhadap penindas dan golongan ‘borjuis’. Maka, kita menyebut diri sebagai golongan ‘proletar’.

…dan bagaimana kemudiannya mereka dimasukkan ke dalam ideologi Islam?

MT: Itu secara perlahan-lahan. Ketika mereka masuk, mereka akan diberikan pelatihan tiga hari. Selepas pelatihan, mereka punya kewajiban untuk bertemu sekali dalam setiap minggu. Ini adalah proses pembinaan atau pendidikan. Perlahan-lahan, sehingga enam bulan, mereka dipersiapkan untuk masuk ke dalam tahap pengantara (intermediate). Ketika berada di tahap ini, barulah mereka tahu siapa mereka sebenarnya – iaitu anggota ‘Darul Islam’.

Tapi dari aspek ideologi itu sendiri, apakah pemikiran-pemikiran yang dimasukkan, sehingga mereka merasakan perlu berjuang untuk Islam?

MT: Pertama, adalah konsep ‘iman’. Kedua, konsep ‘hijrah’. Dan ketiga, konsep ‘jihad’. Bagi konsep ‘iman’, kita menggunakan sebuah hadis ‘al-imanu ahdun bil qalb, wa ikrarul bil lisan, wa amal bil arkan’ (“iman melalui hati, dan dilafaz secara lisan, dan diamalkan menurut rukunnya”). Iman, atau keyakinan, adalah satu hal yang berlembaga di hati, harus dideklarasikan, dan dilakukan secara zahir.

Bagi konsep ‘hijrah’, proses mendeklarasi adalah ‘hijrah’ itu sendiri. Ini kerana ketika kita mengangkat keyakinan kita secara lisan, kita yakin bahawa kita akan berubah dan akan mengubah orde negara ini.

Kemudiannya, ‘jihad’ adalah kesungguhan untuk mewujudkan iman. Menggunakan konsep ‘la illaha illallah’ (“tiada tuhan melainkan Allah”), kita menafsirkan ‘la illah’ sebagai penghancuran pemerintahan yang ada, lalu ‘illallah’ adalah pembinaan pemerintahan Islam yang baru.

Jadi, ada semacam pemahaman yang sangat menyeluruh mengenai konsepsi ‘Islam’ itu sendiri. Tapi yang direkrut itu dari kelompok mana sebenarnya?

MT: Beragam. Ada yang latar belakangnya sama sekali kosong tentang pemahaman Islam; ada juga yang dari kalangan Nahdlatul Ulama, Muhammadiyah dan Persis (Persatuan Islam); ada yang Syiah… Jadi, kita merekrut dari segala macam latar belakang.

Kalau dari aspek umur?

MT: Rata-ratanya, dari SMP (sekolah menengah pertengahan) hingga umur yang tidak terbatas. Ada yang dari kalangan orang-orang tua yang menjadi office boy atau janitor; selagi boleh, kita akan menarik mereka masuk. Gerakan kita juga memerlukan orang-orang tua yang bekerja. Walaupun penghasilan mereka kecil, tetapi wang mereka tetap boleh disisihkan untukinfaq. Bahkan, ada juga dari kalangan tentera dan anggota polis yang kita rekrut.

Kembali kepada isu deradikalisasi. Bagaimana cara kamu memujuk kelompok radikal untuk meninggalkan ideologi garis keras ini?

MT: Saya cuba mengajak mereka berfikir secara realistik: tentang kehidupan dan tentang apakah yang dibanggakan anak-anak terhadap ayahnya. Seorang anak akan bangga apabila ayahnya itu dapat memberikan segala keperluannya, baik dari segi kesihatan mahupun pendidikan, disamping makanan sehariannya. Contohnya, seorang anak akan merasa bangga dan berkata, ‘Oh, ayah saya yang menyekolahkan saya!’ Rata-rata, para aktivis adalah orang-orang yang kurang memiliki perhatian terhadap tanggungjawab seorang ayah. Nah, saya cuba mengajak mereka kepada persoalan itu: jangan sampai anak kita tidak menghormati kita. Kita sebagai seorang ayah dan suami, jihadnya adalah bagaimana memberi kehidupan kepada anak-anak kita. Cara ini memang terkesan ‘sekularistik’ dan ‘materialistik’, tetapi buat saya, itu persoalan yang nyata. Apakah kita dapat makan melalui idea sahaja? Tidak, anak kita harus makan nasi. Anak-anak kita tidak mungkin makan ‘iman’.

Cara lainnya, kita juga bekerjasama dengan pesantren. Anak-anak mereka, yang dari kalangan yang tidak berpunya, kita sekolahkan dengan percuma. Sehingga, beban dia sebagai bapa berkurangan dan dia dapat bekerja sebagai apapun – seperti menjual ikan, jadi petani kembali, sebagai tukang basuh, atau menjadi pegawai administrasi di sekolah, dan lain-lain – yang mendapat hasil untuk diberikan untuk keperluan seharian anak-anaknya, bukan kepada gerakannya. Akhirnya, dia akan fokus di situ, sambil secara perlahan-lahan, diajak berdialog terus-menerus. Saya akan berkata: ‘Sudahlah. Jangan fikirkan lagi bahawa negara Indonesia ini adalah musuh. Orang-orang yang memimpin Indonesia sekarang sebenarnya sama dengan kita. Mereka manusia juga, dan punya cita-cita yang baik. Mereka juga ingin Indonesia menjadi negara yang baik, sama seperti kita. Pada masa yang sama, kita juga belum tentu yakin bahawa orang-orang yang memimpin kita dahulu – yang berlandaskan ideologi Islam – akan benar dalam memimpin negara Indonesia yang sangat plural dengan banyaknya suku, bahasa dan agama; sulit untuk mengelolakan bangsa ini.’ Jadi, dengan perlahan-lahan, mereka mereka melihat kenyataan ini. Ya, proses begini memerlukan waktu yang lama tetapi hasilnya lebih kekal.

Ke Bahagian 3 | Bahagian 1

Ini adalah pendapat pengarang dan tidak semestinya mewakili pandangan IMAN Research.



RELATED POSTS