Seyyed Hossein Nasr telah mengulas dan mengkritik dengan terang dalam karyanya bertajuk Man and Nature mengenai krisis segelintir manusia moden dengan persoalan-persoalan bersifat “supra-rational” seperti kesucian (sacredness), tuhan, “alam yang hidup” dan sebagainya. Hal tersebut akhirnya memberi kesan seperti “mematikan” roh dan rahsia yang menjadi antara unsur dalam hidup berlandaskan tradisi agama dan kepercayaan. Dalam bukunya itu, sudah tentu persoalan kebiadapan dan nihil rasa kemanusiaan dan kebertanggungjawapan yang menjadi antara elemen bermasalah antara manusia moden dan alam yang akhirnya mencipta “pertembungan” antara kedua-duanya.Hakikatnya, ulasan Nasr tersebut merupakan satu juzuk daripada kehidupan seluruhnya yang ditimpa krisis sebegitu rupa. Akibat tiada upaya melihat secara mata kasar “apa di sebalik apa”, maka ia dianggap sebagai tidak rasional, khayalan dan sebagainya. Menerusi bicara kita demi menuntut kembali makna Ramadan ini, kita akan meninjau satu cabaran yang datang setiap tahun dalam apa-apa tradisi hari kebesaran dan perayaan agama-agama termasuk Islam. Jenama-jenama dan kemasyhuran menjadi ganti berbanding rahsia dan makna Ramadan yang wajar dihayati. Promosi Hari Raya di sesetengah pasaraya berlangsung beberapa minggu sebelum datangnya Ramadan, begitu juga media elektronik dan media cetak yang berperanan besar dalam mencorak perhatian penonton dan pembaca.
Lebih jauh lagi, kita melihat perkara-perkara tertentu dikaitkan langsung dengan keagamaan demi melariskan lagi barang-barang perniagaan; termasuk kurma, pakaian kearaban dan sebagainya. Kalau perkara ini sudah biasa berlangsung pada bulan-bulan lain, tetapi ia berlangsung lebih hangat pada bulan Ramadan dan sebelumnya. Justeru suatu yang sentiasa berlaku, rahsia Tuhan yang menyebut keutamaan malam al-Qadar menjadi suatu yang tidak diendah sebilangan manusia, kerana malam-malam akhir pada bulan Ramadan menjadi tumpuan para peniaga untuk menghabiskan barang-barang jualan mereka. Oleh itu, tempat-tempat ibadat menjadi amat berkurang berbanding pada hari-hari awal, dan pasar-pasar pula menjadi tempat segelintir Muslim untuk “beribadah”.
Jika Santa Klaus yang “suci” dalam agama Kristian pun menjadi mangsa konsumerisme dalam melariskan lagi perniagaan kaum pemodal. Dalam sesetengah masyarakat Islam, kadang-kadang perkara tersebut berlaku terhadap sesetengah pusat ibadat yang amat teruja mahu mendapatkan khidmat Imam solat terawih dari luar negara, hingga sanggup menanggung kos-kos yang tinggi, walhal duit tersebut boleh digunakan untuk manfaat ahli kariah yang memerlukan. Majlis berbuka puasa yang diadakan di hotel-hotel lebih mencemaskan kita, betapa di celah-celah tangisan segelintir pihak yang tidak cukup wang untuk membeli sesuap nasi, kita dihidangkan dengan pelbagai berita pembaziran pada majlis berbuka puasa, amat paradoks!
Beberapa perenggan tersebut merupakan secebis kecil kisah makna beragama dicabut secara rakus oleh konsumerisme, hingga akhirnya praktis-praktis keagamaan menjadi suatu adat yang lebih menguntungkan kaum pemodal, bukannya latihan dan pengalaman kerohanian yang membina dan mendisiplinkan manusia, lantas menyelamatkan kemanusiaan. Suatu yang jelas dilihat menerusi amalan keagamaan dalam Islam ialah amalan tersebut sentiasa mempunyai perkaitan dengan orang yang miskin dan memerlukan, demikian juga dengan ibadah puasa pada bulan Ramadan.
Namun begitu, suatu yang menyedihkan apabila makna Ramadan diragut oleh konsumerisme dengan begitu ganas. Galakan supaya memberi makan berbuka puasa kepada orang miskin dan memerlukan tidak diendahkan, kerana wang digunakan untuk dibazirkan pada tempat yang tak sepatutnya. Ragutan tersebut menjadikan Ramadan bukan lagi bulan untuk menghayati kelaparan dan kesusahan, tetapi bulan untuk lebih berbelanja berbanding bulan-bulan lain. Ramadan yang mengajar tentang kesamarataan manusia akhirnya mencipta jurang yang lebih besar antara kelas-kelas sosial. Sebahagian pemimpin politik turut terjebak dalam budaya ini, majlis rumah terbuka selepas berakhirnya Ramadan adalah seperti pertandingan “majlis siapa lebih mewah”. Kesederhanaan tidak lagi menjadi keutamaan.
Pantulan dan Khatimah
Isu-isu berkaitan kehampaan makna dalam beragama dan kerohanian menjadi antara perbahasan yang tidak berkesudahan. Karen Armstrong sesudah mengulas panjang lebar tentang sejarah dan pengenalan ringkas tentang agama dan falsafah keagamaan dalam buku terkenalnya History of God mengakhiri buku tersebut dengan dua topik menarik dalam falsafah ketuhanan iaitu The Death of God dan Has God a Future ia satu persoalan serius tentang kehampaan makna dan erti beragama makin malap hari demi hari, tentang sejauh mana agama dan Tuhan benar-benar punya erti, atau ia mati di tangan sebahagian penganut agama sendiri? Sama ada kita bersetuju atau tidak, namun persoalan Armstrong menarik untuk diambil perhatian:
“Human beings cannot endure emptiness and desolation; they will fill the vacuum by creating a new focus of meaning. The idols of fundamentalism are not good substitutes for God; if we are to create a vibrant new faith for the twenty-first century, we should, perhaps, ponder the history of God for some lessons and warnings.”
Makalah ini sudah tentu tidak berhasrat pergi ke kesimpulan mencipta keyakinan baharu untuk abad baharu, tetapi sebagai suatu refleksi dalam tradisi beragama khasnya dalam kalangan umat Muslim. Meminjam semangat kata-kata Armstrong, jika kita persoalan makna, tujuan dan rahsia terabai serius dalam faham kita tentang Ramadan, ia pasti akan menyebabkan kekosongan itu terisi dengan hal-hal lain yang paradoks dengan tujuan asal pengsyariatan Ramadan dan amalan berpuasa. Oleh itu, mengajak kepada melihat kembali teks-teks dan ulasan sarjana silam tentang apa makna yang mahu dicapai menerusi Ramadan ialah satu usaha mengelak kehampaan makna berlangsung serius.
Jauh sebelum Armstrong melontarkan persoalan kemaknaannya, Ibn Tufail (meninggal 1185 M) menerusi teks kisah kefalsafahannya, Hayy Ibn Yaqazhan seperti mengungkapkan hal yang hampir sama, menerusi bahasa yang berbeza. Di hujung novel Hayy Ibn Yaqazhan itu, Ibn Tufail menceritakan perihal pertemuan dan perkenalan antara Hayy dan Asal. Asal berasal dari tempat yang sarat dengan aktiviti keduniaan yang mana hakikat dan makna beragama semakin bermasalah, Asal ke pulau tempat beradanya Hayy untuk mengasingkan diri dari tipu daya dan masyarakat yang sudah hampa dari makna beragama. Hayy ketika itu sudah mencapai kedudukan yang tinggi dalam penghayatan keimanan, menerusi disiplin dan pengalaman kerohanian yang diperoleh sepanjang berada di pulau.
Akhirnya, mereka berdua pulang ke tempat tinggal Asal dan di sana, Hayy melihat dengan matanya sendiri, masyarakat yang lebih maju darinya ditimpa kecelakaan keduniaan yang serius, lalu Hayy mensyarahkan kepada mereka hakikat dan erti beragama. Tiada yang menyambut, lalu Hayy berputus asa dan sebelum beredar, Hayy menyeru mereka supaya beragama sekadar yang mereka mampu, tanpa melanggar arahan dan perintah Tuhan secara zahirnya. Hayy tidak mampu mengajak mereka ke penghayatan yang lebih tinggi, lalu Hayy dan Asal pulang semua ke pulau tersebut, meneruskan misi pencarian hakikat ketuhanan yang lebih tinggi.
Teks tersebut sangat menarik, Ibn Tufail mengkritik keras budaya beragama secara zahir tanpa diimbangi dengan hal-hal yang menjadi rahsia dan makna dalam beragama. Itulah yang dibimbangi berlaku dalam kehidupan dan praktis beragama, salah satunya Ramadan dan puasa. Ramadan dan puasa hanya contoh kecil, ia hakikatnya sebuah renungan terhadap hakikat beragama secara keseluruhannya. Menuntut kembali makna Ramadan dan beragama ialah satu kemestian dan tanggungjawab. Kita harus tegas mendengung dan mengungkapkan; bertanya tentang kualiti keimanan, terjawab dengan bagaimana kita berinteraksi dengan kehidupan. Berhenti daripada hal-hal kebiasaan. Berhenti dan berfikir kembali makna dan erti.
Marwan Bukhari A Hamid, penulis dan penterjemah.