Di balik jalanan dan deretan blok kedai di sebuah kawasan di Meru, Klang, tersembunyi sebuah madrasah, yang juga menjadi penempatan untuk anak-anak warga Rohingya.Suasana di dalam kelas di sekolah berasrama Rohingya. Meru Madrasah Muiin Al-Islam yang diusahakan Persatuan Ibubapa Rohingya Islam (PERI) didirikan hampir setahun yang lalu. Menyewa tingkat atas sebuah lot kedai, madrasah ini menjadi tempat sekitar 72 anak warga Rohingya menimba ilmu, di mana 25 daripadanya menjadikan madrasah ini tempat tinggal mereka. Dan dari 25 anak ini, 15 darinya yatim, dan selebihnya dihantar ibubapa mereka untuk tinggal di sini mungkin atas faktor tidak berkemampuan menjaga mereka di rumah, atau faktor jarak yang jauh dari rumah.
Usia anak-anak ini sekitar 3-15 tahun. Ada beberapa anak-anak yang bersekolah pada waktu pagi di Rohingya Education Center (REC) Klang,dan pada waktu petangnya menyambung sesi pelajaran di sini. Namun, majoriti dari mereka hanyalah menjadikan madrasah ini sebagai tempat mereka menimba ilmu.
Di sini mereka didedahkan dengan ilmu al-quran, asas pembelajaran Islam, dan pelajaran asas akademik (membaca dan menulis. Namun perhatian kami mendapati penguasaan kebanyakan mereka masih di tahap sangat lemah). Sebahagian dari mereka sudah mula menghafal al-quran, dan dapat membaca al-quran dengan baik. Anak-anak ini dididik oleh 3 orang ustaz, dan seorang cikgu yang menjadi pengurus kepada madrasah ini.
Madrasah ini mempunyai satu ruang “dewan”, yang menjadi tempat mereka belajar, ruang solat ketika masuk waktu, dan ruang tidur ketika malam. Di samping itu, terdapat 2 buah bilik; satu bilik menjadi pejabat urusan; dan satu lagi bilik kecil menjadi ruang untuk ustaz tidur. Madrasah ini turut mempunyai sebuah dapur, dan dua bilik air, yang menjadi tempat anak-anak ini mandi, membasuh baju, dan sebagainya.
Dan sedihnya, kami dikhabarkan madrasah ini tidak dapat menerima bantuan zakat kerana status UNHCR mereka tak melayakkan mereka menerima zakat.
Untuk jangkasama pendek, kami merancang untuk menyediakan kemudahan asas yang mencukupi untuk anak-anak ini, dan jika berkemampuan untuk sekitar 130 keluarga Rohingya yang tinggal di sekitar madrasah ini. Kemudahan asas ini termasuklah bahan makanan, penjagaan diri, pakaian, dan sebagainya.
Untuk jangkamasa sederhana dan panjang, kami cuba memfokuskan kepada sudut pendidikan. Beberapa pensyarah dari UIA dan UITM yang turut bersama ketika lawatan ada menyatakan persetujuan untuk membimbing anak-anak di sini dan menyediakan modul pembelajaran secara berkala, yang mungkin akan dijalankan sekitar seminggu sekali. Dan di sini kami memerlukan sukarelawan yang sudi turut sama dalam projek ini untuk membantu mendidik mereka. Hal ini dilihat mendesak terutamanya buat guru wanita, yang dilihat sangat perlu untuk menjadi figura ibu buat anak-anak ini, dan menjadi rujukan buat pelajar perempuan sekiranya mereka mempunyai persoalan dan masalah berkaitan isu kewanitaan.
Melihat keadaan yang tidak kondusif untuk pembelajaran, kami turut merancang untuk mencari satu lokasi lain yang lebih sesuai. Menyedari hakikat sukar bagi mereka untuk pulang kembali ke negara mereka (walau mereka bersungguh menyatakan satu hari nanti mereka akan pulang kerna rasa cinta pada tanah air), sebuah lokasi yang lebih sesuai dilihat sangat perlu memandangkan madrasah ini menampung jumlah pelajar yang agak ramai, dan pelajar perempuan terutamanya terdedah kepada kemungkinan gangguan.
Kami cuba merancang untuk menjadikan bantuan ini bukan sekadar “one-off’, tetapi secara berterusan. Untuk itu, diharap pihak yang ingin menyumbang, tidak kiralah dari sudut kewangan, tenaga, atau idea dapat bergabung bersama kami supaya segala bantuan dapat diberikan secara lebih tersusun dan teratur.
Ini adalah pendapat pengarang dan tidak semestinya mewakili pandangan The Affair.